Kisah bermula dengan kenakalan Kasyah, seorang pelajar kolej yang sering membuli dan mengenakan pelajar lain, bersama beberapa rakannya. Sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kehadiran pelajar baru, Ayu, yang menambat hati pemuda terbabit.
Hubungan Kasyah dan Ayu bertambah erat dengan bibit percintaan mulai bercambah. Pada semester akhir, Kasyah ke kawasan pedalaman bagi menjalankan kajian untuk tugasannya. Mereka tidak berhubungan dengan harapan Kasyah dapat menumpukan perhatian pada kajiannya.
Ketika pemergian Kasyah, bekas kekasih Ayu, Azmi, muncul menagih cinta. Azmi menggunakan kedudukan dan kemewahan keluarga bagi mempengaruhi ibu Ayu, Mak Leha, agar memujuk gadis itu berkahwin dengannya. Berpura-pura sakit tenat, ibu Ayu berjaya meminta anaknya berkahwin dengan Azmi, meskipun hatinya mencintai Kasyah.
Sebaik saja pulang ke kampus, Kasyah yang tidak mengetahui perkahwinan Ayu dan Azmi, terkejut dengan berita yang diterimanya itu.
Masa berlalu, rumah tangga Ayu dan Azmi berantakan lantaran sikap Azmi yang panas baran dan pemabuk. Ayu sering dipukul. Suatu malam, akibat tidak tahan dipukul Azmi, Ayu bertindak melarikan diri dari rumah dengan memandu kereta. Ayu hilang kawalan lalu terbabit dalam kemalangan. Ayu cedera parah dan dibawa ke hospital. Mukanya hancur dan terpaksa melakukan pembedahan plastik. Wajahnya berubah, tetapi dia pulih semula. Seterusnya Ayu menuntut perceraian.
Bersama wajah berbeza dan dengan trauma kehidupan lampau, Ayu kini bertekad untuk memulakan hidup baru. Bersama wajah barunya dan dengan pampasan perceraian, dia membuka syarikat perniagaan serta menampilkan diri sebagai Emilia. Menerusi Suzana, kawan rapatnya ketika di universiti, Kasyah diambil bekerja.
Kasyah yang mulanya tidak perasan kehadiran Ayu dalam diri Emilia, mulai berasakan sesuatu kerana persamaan yang dimiliki antara dua wanita itu. Emilia mendapati Kasyah masih setia menyintai Ayu. Keadaan itu menambah deritanya apabila Kasyah tidak menerima Emilia dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment